download Jom Explore app
Panduan Kedai Makan Sedap Di Bandar JB!

Panduan Kedai Makan Sedap Di Bandar JB!

Jom! Makan
By Muhammad Aliff on 25 Aug 2023
Digital Editor

Setiap kali kita pergi bercuti dalam negara antara masalah dihadapi adalah mencari kedai makan yang tiada di tempat kita. Saban hari semakin ramai bercuti di bandar Johor Bahru (JB) untuk mencari keistimewaan di bahagian selatan negara.

Namun, masih tak ramai tahu bandar JB pun mempunyai kedai makan yang sedap setanding dengan negeri lain dalam Semenanjung Malaysia. Tidak perlu untuk melangkah keluar ke sempadan pun untuk mencari pengalaman baru dan kedai sedap!

JB merupakan ibu kota untuk negeri Johor. Ia terletak berhampiran hujung selatan Semenanjung Malaysia di bahagian tebing utara Selat Johor bertentangan dengan negara Singapura.

Bandar JB merupakan penyumbang kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kedua terbesar Malaysia di kalangan banadr raya. Zon ekenomi khas terbesar negara melalui pelaburan menghasilkan zon Iskandar Malaysia.

Selain itu, bandar ini merupakan salah satu bandar yang paling pesat berkembang selepas Kuala Lumpur. Ia merupakan pusat komersial utama Johor dan terletak di kawasan dikenali Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Singapure.

Industri berasaskan tertiari mendominasi ekonomi dengan kemasukkan ramai pelancong dalam negara dan antarabangsa melawat keindahan bandar ini. Terdapat taman tema, bandar lama, istana raja menjadi antara tarikan utama!

Disebabkan itu, ramai melancong untuk melihat suasana bandar ini yang mempunyai identiti tersendiri berbeza dengan bandar di kawasasn lembah klang. Tetapi, betul ke ada kedai makan sedap dekat negeri ini?

Photo from Pinterest

Haa.. kalau nak tahu pastikan korang baca sampai habis!

Makanan Pagi

Mulakan Sarapan Pagi Di Kedai iniPhoto from Muhammad Fazli

Kalau tengah bercuti kita wajib bangun awal pagi bukan untuk pergi kerja tetapi pergi bersiar-siar mencari sarapan pagi untuk mulakan hari kita dengan betul. Terdapat dua pilihan yang Min rasa korang wajib singgah tau.

Sup Tulang ZZ merupakan antara destinasi wajib untuk disinggah sebagai seorang pelancong tau. Memang ramai pelancong dan penduduk asal suka mulakan hari mereka makan disini, jadi korang kena bersedia la kalau kedai ramai orang.

Keistimewaan di kedai ini adalah sup tulang, mi rebus dan suasana kedai. Terletak di bawah pokok menghasilkan kedai makan yang memberi suasana pondok kampung dalam bandar menyajikan makanan sedap.

Mi rebus tulang daging menjadi antara makanan yang direkomen oleh orang ramai! Kuah pekat penuh berperisa diperkuatkan dengan rasa daging lembut memang berbeza dari mi rebus korang biasa makan.

Jarang sekali untuk mendapat rasa yang sama kalau bukan di kedai ini. Selain itu, aneka sup tulang, sup gear box kamping juga sedap untuk dinikmati bersama mi rebus. Daging yang dimasak sehingga empuk memang lembut dengan setiap gigitan.

Sup Tulang Kat Sini Memang Terliur TengokPhoto from Luke Blackburn

Pilihan kedua pula adalah Restoran Kacang Pool Haji. Kalau tanya orang JB diorang pasti tahu sangat la tentang keenakan kacang pool berbanding orang luar. Katanya, resipi asal datang dari negara Arab yang menggunakan minyak zaitun dan minyak sapi untuk hasilkan kuah pekat ini.

Tetapi pemilik kedai mengubah suai resipi asal untuk disesuaikan dengan lidah kita. Kuah pekat yang dihasilkan dengan campuran daging kisar dengan kacang pool memberi rasa padat, sedikit pedas, masin memang unik.

Kacang Pool Sesuai Jadikan Sarapan Pagi!Photo from Norahmadon Mohd

Cara makannya pula sama seperti makan roti canai dengan mencicah roti bakar ke dalam kuah kacang untuk menikmati rasa kacang dan daging itu. Korang juga boleh perahkan buah limau untuk berikan rasa masam sedikit untuk seimbang keseluruhan rasa.

ZZ Sup Tulang Restaurant

📍 20, Jalan Petri 5/1, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

⏰ Setiap Hari Kecuali Sabtu (7 am - 12 am)

Restoran Kacang Pool Haji

📍 Jalan Sabar, Taman Dato Onn, 80350 Johor Bahru, Johor
⏰ Setiap Hari (7 am - 12 am)

Makanan Tengah Hari

Korang Boleh Nikmati Resipi Original Chicken Chop TauPhoto from Fay Chong

Selepas menjamu selera untuk sarapan pagi mestilah kita nak bersiar-siar melihat keindahan bandar JB pulak kan? Memang banyak bangunan bersejarah dan beberapa monumen menarik seperti The Crown Arch.

Setelah bersiar-siar sudah sampai waktu makan tengah hari pula. Antara dua pilihan utama korang boleh pergi adalah Restoran Hua Mui yang menyediakan gaya makanan Hainan kopitiam.

Gaya kopitiam Hainan memang popular dalam negara terutama di Pulau Pinang. Manakala, di Johor Bahru pun mempunyai satu di Restoran Hua Mui. Korang boleh dapatkan resipi asli makanan Hainan yang dibuka sejak tahun 1946.

Dikatakan mereka menggunakan resipi asal Chicken Chop yang kita selalu makan di kedai western tau. Ayam yang disaluti dengan tepung digoreng sehingga ranggup sedap untuk dimakan begitu sahaja.

Ataupun, korang boleh nikmati Cantonese Kuey Teow, Mee Siam. Kalau nak nasi pula, korang boleh menjamu selera resipi asli Hainanese Chicken Rice! Seterusnya, tak sah kalau tak makan asam pedas di JB.

Nak paling sedap korang kena cari di Restoran Asam Pedas Kampung Sungai Melayu. Mereka menyediakan asam pedas menggunakan resipi sendiri menghasilkan kuah pekat, pedas dan penuh berperisa.

Ada 3 pilihan ikan untuk menu asam pedas korang boleh pilih iaitu, Ikan Sembilang, Ikan Merah dan Ikan Siakap. Selain itu, korang boleh memilih pelbagai lauk makanan laut seperti ikan bakar, sotong celup tepung atau ikan siakap goreng.

Asam Pedas? Makanan Laut? Siapa Je Tak Suka!Photo from Khairul Azmi

Seronoknya makan kat sini adalah permandangannya yang terletak di persisiran sungai memberi suasana alam semulajadi dipenuhi dengan air, pokok dan udara segar. Tak lupa juga, langit biru menambah pengalaman makan kat sini!

Restoran Hua Mui

📍 131, Jalan Trus, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor

⏰ Setiap Hari (8 am - 5 pm)

Restoran Sri Pantai Asam Pedas Kg Sungai Melayu

📍 NO 48 KAMPUNG SUNGAI MELAYU 79100 NUSAJAYA, KAMPUNG SUNGAI MELAYU, 79100 Johor Bahru, Johor

⏰ Setiap Hari (11 am - 10 pm)

Makanan Malam

Boleh Melantak Ikan Bakar Sampai Korang PuasPhoto from Jaafar Amaran

Waktu malam dah tiba, kaki pun dah mula penat berjalan ke sana ke sini. Hari pun mula sejuk dan sebelum pulang ke hotel kenalah isi perut dulu dengan makanan malam pula kan?

Korang boleh singgah ke Medan Selera Tepian Tebrau yang terletak hanya 300 meter dari Johor Bahru City Square berdekatan dengan Sultanah Aminah Hospital. Perbezaan di sini adalah iannya sebuah medan selera.

Jadi korang ada pelbagai kedai untuk pilih dan nikmati masakan mereka. Dekat sini makanan laut adalah raja dan ramai rekomen untuk singgah ke Gerai Ayong & Tip Top Ikan Bakar, Asam Pedas Power dan Laksalicious House.

Penuhkan perut korang dengan ikan bakar, kerang bakar, sotong, udang dimasak dalam macam-macam jenis untuk dipilih. Korang kalau tak tahu nak pilih menu apa boleh tanya tukang masak, masakan apa yang paling popular untuk mudahkan hidup korang.

Selain itu, kalau inginkan sedikit kelainan boleh pergi ke Bubur Nasi Istimewa No 1 yang merupakan sebuah gerai di tepi jalan. Tetapi, walaupun terletak di tepi jalan. Bubur dekat sini memang dicari-cari oleh pelancong tau.

Sampaikan orang JB pun datang awal untuk makan! Keistimewaan di sini adalah bubur nasi mereka. Sama seperti makan nasi panas berlauk, korang boleh pilih lauk apa yang nak dinikmati dengan bubur.

Antara lauk yang ramai rekomen adalah ikan bilis goreng pedas, salted duck egg, sayur kangkung masak sambal dan ikan pari bakar pun ada! Haa.. pengalaman makan bubur dengan ikan bakar ini rugi kalau korang tak cuba!

Bubur Panas Dan Lauk-Lauk SedapPhoto from Meen mon

Kalau tanya Min, memang sedap sangat dapat rasa bubur nasi bercampur dengan rasa garing pedas ikan pari tu. Memang tak dapat lupakan!

Medan Selera Tepian Tebrau

📍 Jalan Mohd Amin, Kampung Mohd Amin, 80200 Johor Bahru, Johor

⏰ Setiap Hari Kecuali Isnin (8 am - 12 am)

Bubur Nasi Istimewa No.1

📍 7Eleven, Stall (Depan, Jalan Sutera, Taman Sentosa, 80150 Johor Bahru, Johor

⏰ Setiap Hari Kecuali Isnin (5 pm - 12 am)

Haa.. Lepasni Tak Pening Kepala Nak Makan Di Johor Bahru

Min dah sediakan dekat korang kedai makan sedap dari pagi sehinggalah ke malam. Lepas ni takda dah nak pening kepala memikirkan nak makan apa kerana ini merupakan antara destinasi wajib ramai pelancong akan cuba.

Sebagai pelancong korang kalau boleh datang awal sikit untuk elakkan waktu puncak kerana dapat elakkan kesesakan ramai orang. Selain itu, nikmatilah setiap saat korang makan tu kerana waktu bercuti ni memang seronok kalau kita tak berpusu-pusu.

Johor Bahru merupakan antara bandar yang mempunyai kecantikkan tersendiri berbeza daripada negeri lain dalam negara kita. Ia seperti adik Kuala Lumpur yang masih memegang kepada sejarahnya. Selamat menjamu selera!

📢 Follow kami di Instagram  Jomexplore Instagram

📢 Follow kami di Facebook Jomexplore Faecbook

📢Follow kami di Tiktok Jomexplore Tiktok