Resipi Nasi Kukus Ayam Yang Sedap Dengan Mudah
Antara hidangan popular ketika makan tengah hari adalah nasi kukus ayam berempah yang mudah untuk dijumpa di merata tempat. Hidangan menyelerakan menggabungkan 2 bahan kegemaran orang Malaysia sentiasa dekat di hati. Namun, kalau nak hasilkannya di rumah susah atau senang? Haa.. ini resipi mudah untuk korang cuba.
Seronoknya duduk di negara kita adalah kepelbagaiaan jenis masakan yang kita dapat menikmati dapat memberikan pengalaman rasa yang sukar digambarkan melalui gambar ataupun visual sahaja. Kena rasa sendiri baru kita dapat menceritakan bagaimana makanan tersebut membuatkan kita gembira.
Nasi kukus ayam berempah memang mudah untuk kita cari kerana bersepah kedai menjualnya menggunakan resipi tersendiri dengan mengubah sedikit tanpa menjejaskan hidangan asal. Haa.. ada yang fokus dekat ayam, ada fokus dekat kuah gulai.
Tambahan pula, popularitinya terhasil dengan mencampurkan bahan utama kegemaran orang kita iaitu nasi dan ayam. Tipulah kalau korang sanggup menolak kombinasi dua bahan ini dalam makanan harian kan? Min pun tak sanggup tau.
Seterusnya, nasi kukus memberikan rasa empuk, lembut dan gebu sesuai dipadankan dengan ayam goreng berempah. Kombinasi memberikan rasa aromatik, sedikit pedas dengan kaya berlemak sudah cukup untuk menggoda selera makan ketika lapar.
Photo from Makan Jika Sedap
Oleh itu, kalini Min kongsi dengan korang resipi rahsia untuk menghasilkan nasi kukus ayam berempah yang sedap. Sampaikan, korang sendiri boleh menjualnya di kedai!
Masakan Rendah Diri Penuh Berperisa
Photo from foodpanda
Aroma semerbak harum seperti sebotol perfume memenuhi ruang udara, itulah bau ayam goreng berempah baru sahaja siap digoreng diletakkan di kaunter. Pelanggan pula tinggal pilih sahaja bagi melengkapkan hidangan mereka.
Hidangan ini adalah antara masakan yang bersikap rendah diri namun memiliki profil rasa yang cukup unik dengan menggabungkan beberapa bahan. Maka, terhasillah sebuah hidangan menyerlah secukup rasa.
Semuanya bermula dengan nasi kukus. Periuk kukus menghasilkan wap untuk masak nasi ini mempunyai kelebihan tersendiri seperti menjadi lebih lembut daripada masak kaedah biasa.
Selain itu, nasi korang tidak meninggalkan kesan berkerak dan hanya memerlukan 15-20 minit sahaja untuk masak sepenuhnya. Teknik ini juga lebih sihat dan menyedapkan kerana beras menyerap air mengikut kuantiti yang diperlukan.
Manakala, kawannya pula ayam berempah bermula dengan beberapa campuran rempah. Kemudian diperap untuk memberikan rasa mendalam dan kompleks kepada ayam memberikannya warna kuning keemasan yang menyerlah.
Kemudian, digoreng sehinggan ranggup di luar dan lembut di dalam. Kuah kari dicurahkan ke atas nasi dan ayam untuk melengkapkan masakan untuk menarik nafsu selera makan korang serta memuaskannya.
Cara Untuk Masak Nasi Kukus
Photo from resipi bonda
Nak masak masakan tidak memerlukan kemahiran serta pengalaman yang tinggi pun. Sebaliknya, kalau korang ada asas kemahiran masak sudah cukup untuk menghasilkannya. Ia juga bagus untuk mengembangkan pengalaman memasak korang.
Resipi ini dikongsikan di laman fb Nasi Kukus Ayam Goreng Berempah supaya hasil masakan korang menjadi sempurna. Jom tengok bagaimana cara betul untuk masak nasi kukus dirumah.
Bahan-bahan
- 4 cawan beras (tukar sukatan jika masak kuantiti banyak)
- 3 cawan air
- 2 helai daun pandan disimpulkan
Langkah-Langkahnya
- Cuci bersih beras kemudian rendam sekejap dan toskan. Kemudian, didihkan air dalam pengukus dan masukan daun pandan untuk menambah rasa wangi pandan kepada nasi.
- Kukus beras sekurang-kurangnya lebih 25 minit atau separuh masak. Selepas itu, keluarkan beras dan rendamnya dengan air sehinggan air menjadi sejuk.
- Kembali mengukus selama 10-15 minit sahaja dan gaulkan dengan air 3 cawan dan biar sampai air menyerap masuk ke dalam beras
- Teruskan mengukus selama 15 minit dan sudah siap hasilnya!
Cara Untuk Masak Ayam Goreng Berempah
Photo from Pinterest
Tak lengkap kalau tiada ayam goreng berempah yang sempurna. Pastikan korang ikuti langkah dan sediakan bahan secukupnya untuk memastikan ayam penuh berperisa serta tidak terasa macam papan kayu.
Sebaliknya, tekstur ayam perlu ranggup di luar dan lembap di bahagian isinya. Jangan goreng sehingga kering kerana boleh menyebabkan hilang rasa serta keras membuatkan hilangnya nafsu makan korang.
Bahan-Bahan
- 2 ketul ayam (tambah jumlah mengikut kesukaan)
- 1 sudu besar serbuk kari daging
- 1 sudu kecil serbuk jintan manis
- 1 sudu kecil paprika
- 1 sudu kecil serbuk ketumbar
- 1/2 sudu kecil serbuk jintan putih
- garam dan kunyit mengikut rasa
Bahan Kisar
- 6 cm halia muda
- 4 ulas bawang merah
- 3 batang serai
- 3 ulas bawang putih
Langkah-Langkah
- Gaul semua bahan perap bersama ayam. Kemduian, masukkan bahan kisar dan gaul sebati
- Perap ayam sekurang-kurangnya 1 jam tetapi lebih lama lebih sedap
- Goreng ayam menggunakan api sederhana sehingga ranggup keemasan
Cara Untuk Sediakan Gulai
Photo from Pinterest
Antara elemen pelengkap yang ramai tak sedar wajib ada dalam nasi kukus adalah kuah gulai. Takkan lah kita nak makan nasi kosong tanpa kuah untuk menambah rasa dan tekstur kan? Rasa kosong lah jawabnya.
Oleh itu, korang ikut je resipi yang dah ada ini untuk sediakan kuah gulai yang mudah sahaja. Tidak memerlukan langkah yang remeh untuk menghasilkan kuah pekat, penuh berperisa untuk diletakkan pada nasi dan ayam goreng korang itu.
Bahan-Bahan
- 2 biji bawang besar
- 2 sudu besar cili kisar
- 2 tangkai daun kari
- 5 biji tomato
- 1 sudu kecil kunyit hidup
- 1 peket rempah kari
- 1 keping asam keping
- tulang ayam 1 mangkuk dipotong kecil
- 1 kuntum bunga lawang
- stok daging ayam sebanyak 2 liter
- 1 batang kulit kayu manis
Langkah-Langkah
- Kisar kesemua bahan terlebih dahulu
- Panaskan minyak dan tumis bunga lawang, daun kari, kayu manis. Kemudian campurkan rempah kari dan masak sehingga garing.
- Masukkan cili kisar dan masukkan lebihan kisaran tomato dan bawang
- Seterusnya, masukkan stok daging dan masak sehingga mendidih
- Tambahkan gula, garam, asam keping dan ayam
- Masak sehingga mendidih dan sedikit pekat. Akhirnya siap pun!
Senang Rupanya Nak Cuba Buat Dekat Rumah
Haa.. kalau korang baca sekali lalu memang nampak merumitkan. Tetapi, percaya kata Min sebenarnya senang sangat untuk menghasilkan nasi kukus ayam berempah di rumah korang tau. Bahan yang diperlukan pun senang nak cari di kedai runcit.
Masakan ini juga mempunyai budaya masakan negara kita tau. Menggabungkan rasa, tekstur dan aroma yang dapat memikat deria rasa dan selera makan sudah cukup untuk menarik perhatian sesiapa sahaja melihatnya.
Tidak dapat dinafikan, ada sebab kenapa hidangan ini masih popular dan mendapat permintaan tinggi kerana dapat memenuhkan rasa lapar sambil memberi rasa yang cukup enak. Mana tau lepas ni air tangan masakan korang dapat membuatkan ramai mencuba variasi korang pula. Selamat mencuba!
Mungkin korang suka baca ini: