[Ramadhan 2024] Cara Masak Lemang Instant Tanpa Menggunakan Buluh
Lembaran raya kini mewarnai suasana dengan lagu, hiasan serta persiapan untuk menyambut bulan syawal. Antara perkara paling penting waktu ini adalah penyiapan untuk juadah pagi raya terutama lemang! Tak lengkap meja makan kalau tiada lemang tetapi betul ke ada cara untuk menghasilkannya tanpa menggunakan buluh?
Haa.. siapa sangka makanan tradisional yang digemari ramai oleh orang kita turut mempunyai resipi untuk hasilkannya dengan cara lebih mudah. Lepas ni semakin ramai yang membaca artikel ini akan cuba menghasilkan di rumah.
Sebab selalunya kita akan membeli apabila terlihat penjual di tepi jalan atau daripada penjual yang sudah terkenal. Ini kerana pagi raya memang takkan terasa nikmat kalau tiada hidangan makanan tradisional di meja.
Korang bayangkan sendiri kalau tiada hidangan lemang, rendang, ketupat dan sebagainya selepas pulang dari pagi raya. Haa.. suram rasanya nanti nak ambil gambar bersama baju baru pun tak terasa.
Lagipun kita semua sudah sedia maklum bahawa proses memasak sahaja sudah cukup renyah (bagi pendapat min) kerana memerlukan kepakaran dan kemahiran. Ini untuk memastikan lemang itu dibakar dengan sempurna.
Kalau tidak dimasak dengan sempurna apabila kita lihat dari luaran nampak cantik sahaja. Bila sudah dipotong dan dihidang di atas meja baru nampak ada bahagian nasi yang tak dimasak menyebabkannya rasa mentah.
Photo from Butterkicap
Oleh itu resipi ini sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencuba untuk masak dari rumah. Ubah sikit untuk raya tahun ini di mana makanan yang dihidang adalah dari hasil air tangan sendiri.
Resipi Mudah & Tidak Merumitkan Langsung
Photo from FB | Buluh Lemang Monster
Resipi lemang ini telah dihasilkan oleh Azlin Bloor selepas menghadapi masalah untuk mencari buluh yang sesuai untuk digunakan. Menurutnya kawasan tempat tinggalnya di United Kingdom menyebabkan Azlin susah untuk menemui buluh yang cukup tebal.
Disebabkan itu Azlin mengambil keputusan untuk hasilkan lemang dengan mengikut resipi lontong neneknya. Caranya adalah untuk mengambil beras pulut yang ditutup dengan daun pisang.
Kemudian daripada situ Azlin berjaya menghasilkan resipi yang dikongsikan olehnya. Kita mulakan dengan bahan yang diperlukan:
Photo from Remaja
Bahan-bahan yang diperlukan:
- beras pulut
- daun pisang
- santan
- garam & gula
Langkah untuk menghasilkannya:
- Rendamkan beras pulut korang selama 3 jam terlebih dahulu
- Alas periuk atau periuk nasi dengan daun pisang
- Masukkan beras pulut tadi ke dalam bersama santan, gula, garam dan satu lagi daun pisang ke atasnya. Masak selama 30 minit (atau lebih)
- Balut nasi yang sudah siap dimasak (biarkan sejuk sedikit) dalam daun pisang
- Panggang dalam ketuhar atau gunakan grill bbq. Untuk naikkan aroma asap gunakan serpihan kayu yang sudah dibakar
Melalui kaedah memanggang lemang, kita daapt membakar daun pisang tersebut untuk meniru serta hasilkan rasa berasap secara semulajadi. Hasilnya adalah rasa yang seakan sama seperti menggunakan buluh.
Photo from iStock
Sebab itu lebih bagus kalau korang ada grill barbeku kerana dapat hasilkan aroma asap itu. Cuma kena ingat kena letak beberapa serpihan kayu ke dalam api supaya dapat hasilkan rasa semulajadi tersebut.
Haa.. nampak mudah sangat kan untuk cuba hasilkannya di rumah!
Dari Mana Datangnya Resipi Lemang?
Photo from Lifestyle Asia
Memandangkan korang dah tau bagaimana nak hasilkan dari rumah pernah tak korang terfikir dari mana datangnya resipi lemang? Kaedah memasak nasi dalam buluh di atas api terbuka terdapat di seluruh Asia Tenggara dan bukan hanya di negara kita sahaja.
Ada teori yang mengatakan lemang berasal dari Orang Iban dari Sarawak. Ini kerana mereka mempunyai sejarah serta tradisi memasak makanan dalam buluh yang panjang. Apa-apa sahaja yang dimasak dalam buluh dipanggil pansoh.
Tidak kisah sama ada nasi, daging, sayur atau makanan laut.
Perbezaan Lemang Di Indonesia & Negara Kita
Photo from TW | Alex Journey
Selain daripada negara kita, makanan tradisional ini turut popular di negara jiran kita. Mereka menikmatinya ketika meraikan pelbagai upacara tradisi tidak kisah sama untuk perayaan kegembiraan ataupun kesedihan.
Bergantung pada kawasan mana yang korang tinggal makanan ini dikenali sebagai lamang atau malamang. Ini akan dihidang dengan pelbagai inti yang manis serta menyelerakan dan antara jenis yang korang boleh cuba adalah:
- Lamang pisang
- Lamang Tapai
- Lamang singkong (daun ubi kayu)
- Lamang baluoh (santan dan gula melaka)