Banana Leaf Rice Paling Sedap Tersembunyi Di Mutiara Damansara!
Korang pernah berpeluang tak untuk mencuba Banana Leaf Rice? Sebuah makanan india yang menggabungkan nasi putih dengan lauk-lauk tradisional bersama pilihan protein dihidangkan di atas daun pisang untuk menghasilkan letupan aroma rasa dalam mulut. Dengar cerita antara paling sedap terletak dekat Mutiara Damansara!
Nikmatnya duduk di Malaysia adalah kita dibanjiri dengan pelbagai makanan sedap. Setiap hari kita boleh pilih nak nikmati makanan daripada budaya mana tanpa rasa jemu sampai pening kepala nak makan apa.
Disebabkan itu makanan india bukan asing dalam lidah kita. Restoran mamak sentiasa berdekatan dengan kita menyediakan makanan india seperti pilihan roti, thosai, goreng-goreng dan paling terkenal iaitu nasi kandar.
Namun mungkin tak ramai orang berpeluang untuk mencuba Banana Leaf Rice juga merupakan salah satu makanan India. Walaupun daripada mata kasar nampak sama dan lebih kurang, nescaya terdapat perbezaan antara dua hidangan ini.
Setiap satu membawa keunikkan dan rasa tersendiri yang patut korang cuba sekali seumur hidup. Tetapi tak tahu nak cuba dekat mana kan? Haa.. kalau macam tu korang kena singgah ke Mutiara Damansara.
Photo from FB | Kari Kepala Ikan Mutiara Damansara
Menurut pelanggan tetap terdapat sebuah kedai yang menghidangkan makanan versi yang halal. Selain itu, ini merupakan lokasi tersembunyi yang tak ramai orang tahu kecuali korang duduk di kawasan ini tau! Nak cuba tak?
Keunikkan Makan Menggunakan Daun Pisang
Photo from MAB SH
Banana leaf rice dengan nasi kandar ini sama sahaja kan? Dua-dua makanan ada nasi, campur dengan lauk dengan kuah kari campur. Bezanya satu makan di pinggan, lagi satu di daun pisang. Haa.. selalunya ramai mempunyai pemikiran macam ni bila bercerita tentang hidangan ini.
Sebaliknya, hidangan ini berasal dari kawasan India Selatan. Ia merupakan salah satu hidangan tradisional kerana mereka lebih gemar menikmati nasi berbanding roti sebagai makanan ruji. Nasi Kandar pula dimasak oleh mamak (India muslim) dan lauknya lebih banyak pilihan protein dicampurkan dengan sedikit sentuhan masakan Melayu.
Hidangan ini pula dinikmati ketika majlis perkahwinan, perayaan dan pada hujung minggu. Ada juga mengatakan penduduk di bahagian selatan India telah menikmatinya sejak dahulu kala. Amalan menghidangkan makanan pada daun pisang pula berasal dari mereka.
Ini kerana banyak pokok pisang terletak di belah Selatan. Daun pisang pula besar, mudah untuk dibersihkan dan lebih mesra alam turut menambah sedikit keunikkan kepada keseleruhan makanan.
Photo from Pinterest
Budaya India Selatan juga percaya daun pisang adalah suci dan digunakan dalam upacara keagamaan. Selain itu ia dipercayai mempunyai khasiat perubatan untuk merawat pelbagai penyakit.
Ada Lauk Apa Dalam Banana Leaf Rice?
Photo from FB | Kari Kepala Ikan Mutiara Damansara
Keunikkan makanan tradisional ini bermula dengan komponen untuk lengkapkannya. Nasi putih adalah perkara wajib dan selalunya disusun di bahagian tengah untuk dikongsi bersama satu meja. Kadang kala ada juga letak asing, mana yang korang selesa.
Cantiknya bermula apabila pelbagai jenis lauk dihidangkan di atas daun pisang korang. Setiap satu mempunyai profil rasa untuk melengkap satu sama lain melalui tekstur dan rempah ratus berbeza. Apabila digaulkan bersama baru lengkap untuk kita makan.
Takkan lengkap kalau tak bermula dengan lauk sayur. Pilihan yang ada pula banyak sangat daripada berkuah kari, tumis atau goreng membawa pelbagai warna di atas meja makan korang menghiasi daun tersebut.
Bahagian seterusnya adalah pilihan protein yang korang suka. Pilihan seperti ayam, ikan, kambing, sotong dimasak dalam pelbagai cara diletakkan untuk korang gaul sekali dengan lauk yang lain. Semuanya dihidangkan menggunakan resipi perapan unik dari India.
Photo from Kelvin Ng
Tak lengkap kalau takda papadom untuk makan bersama dengan nasi kan? Haa.. jangan lupa mintak lebih untuk tambah tekstur ranggup sebagai pelengkap kepada keseleruhan hidangan ini.
Terliur Pulak Dengar Pasal Banana Leaf Rice
Photo from Abi Zarrin
Haa.. teliur lah pulak dengar cerita pasal hidangan ini kan? Maklumlah siapa je tak suka nasi bercampur dengan pelbagai lauk yang dapat hasilkan pelbagai kombinasi rasa yang sangat unik. Lebih-lebih lagi kalau menggunakan resipi tradisional India Selatan kan?
Kalau nak mendapatkan pengalaman makanan yang sedap, korang wajib singgah ke Kari Kepala Ikan Mutiara Damansara (MD). Kedai ini sangat unik kerana fokus mereka adalah menghasilkan lauk tradisional Melaka tetapi terkenal dengan banana leaf rice mereka tau.
Cuma korang hanya boleh datang pada hari Ahad dan Isnin sahaja untuk mencuba banana leaf rice di kedai mereka bermula 12pm - 4pm sahaja. Hari lain mereka hanya menjual makanan lauk bercampur daripada Melaka.
Lauk yang menjadi kegemaran ramai dekat kedai ini adalah kari kepala ikan! Kedai ini menggunakan ikan jenahak dan harganya bergantung pada saiz tersebut. Kuah kari pekat dimasak menggunakan pelbagai campuran rempah akan buat korang pengsan apabila masuk ke dalam mulut korang tau.
Selain itu, ada banyak pilihan lauk sayur tradisional untuk korang pilih. Tak kisah apa semuanya dimasak mengikut resipi asli untuk memberikan rasa sebenar setiap kali korang menyuapnya ke dalam mulut.
Photo from FB | Kari Kepala Ikan Mutiara Damansara
Jangan lupa pulak pilihan protein! Ayam goreng dan Ayam 65 kekal mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap. Kalau nak makanan laut boleh cuba sotong goreng untuk menambah tekstur berbeza dalam daun korang.
Untuk menutupkan pengalaman makan korang, pastikan pesan rasam (kuah masam) yang akan tingkatkan keseleruhan hidangan ini. Ramai pelanggan tetap akan syorkan korang untuk cuba kuah ini setiap kali makan di sini.
Mencuba Sesuatu Yang Baru
Photo from Makoto Masimi
Bukan senang untuk mencari sebuah kedai yang dapat menghasilkan sesuatu yang betul unik. Banana leaf rice adalah makanan tradisional yang jarang kita dengar kerana kita lebih gemar dan selesa dengan nasi kandar.
Tetapi apa kata korang cuba sesuatu yang baru untuk mengetahui rasa sebenar lauk tradisional India Selatan yang sangat berbeza daripada kedai mamak. Mungkin korang akan terjatuh cinta dengan rasa kuah campur mereka pulak ke?
Paling penting adalah datang dengan perut kosong baru puas hati nak makan sampai kenyang!
📍No 32-1A, Jalan PJU 7/16b, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor
⏰Isnin - Ahad (Khamis tutup, 7:30 am - 4 pm)