Anda Baru Nak Berjinak Dengan Hiking? Ini 5 Bukit Yang Anda Boleh Cuba!
Aktiviti hiking seakan menjadi trend masa kini. Boleh dikatakan setiap kali hujung minggu, ada sahaja bukit atau gunung yang menjadi destinasi para hikers untuk didaki.
Antara sebab ia menjadi aktiviti masa lapang tidak kiralah apa pun golongan usia adalah kerana hiking ini antara salah satu amalan hidup sihat dan juga tidak mahal berbanding aktiviti lain.
Sebenarnya ramai yang teringin untuk mencuba aktiviti hiking ini cuma tiada rakan dan juga khuatir sekiranya bukit yang didaki untuk mempunyai trail yang susah. Nanti kalau tak dapat sampai ke puncak meti rasa tak puas kan?
Jangan risau, kepada para hikers yang baru ingin berjinak-jinak dengan hiking, kami kongsi dengan anda lima bukit yang boleh anda cuba.
?Bukit Broga
Bukit Broga memang sangat popular kepada mereka yang baru nak bermula dengan aktiviti hiking. Bukan sahaja ia tidak begitu susah malah, pemandangan yang disajikan di depan mata anda cukup memberikan kepuasan yang tak terhingga.
Anda boleh memilih masa mendaki sama ada mahu pada waktu pagi untuk melihat matahari terbit ataupun petang untuk melihat matahari terbenam. Namun begitu, harus diingatkan, ada beberapa kawasan yang memerlukan anda untuk mendaki dengan berhati-hati.
Hanya satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Bukit Broga merupakan destinasi terbaik untuk para beginner hikers untuk memulakan aktiviti hiking.
?Bukit Besi
Bukit Besi sebelum ini hanyalah destinasi popular kepada penduduk lokal di sekitar Cheras, Kuala Lumpur. Namun berikutan ada pasangan selebriti yang memuat naik pemandangan cantik bukit tersebut pada waktu malam membuatkan tempat itu mula dikenali orang ramai.
Trail bukit besi tidak sukar dan sangat sesuai untuk mereka yang baru sahaja ingin merasa pengalaman hiking. Malah, ada banyak tempat yang sesuai untuk bergambar seterusna memuat naik di laman media sosial. Malah, anda juga tidak perlu pergi jauh-jauh kerana ia memang terletak di Kuala Lumpur.
?Bukit Batu Putih
Haa… Bukit Batu Putih mendapat nama kerana batu berwarna putih yang terdapat di puncak bukit ini. Terletak di pekan Port Dickson, Negeri Sembilan, anda perlu merancang perjalanan anda bagi mengelakkan tiba lewat di destinasi.
Okay, Bukit Batu Putih ada dua trail iaitu tral hutan dan juga pantai. Kedua-dua ini sangat berbeza dari segi kilometer dan juga kesukaran. Untuk trail hutan, anda akan berjumpa dengan batu putih dan disajikan dengan pemandangan laut Selat Melaka. Namun jika anda melalui trail pantai pula, anda boleh menikmati pemandangan pantai yang cukup indah.
Selain itu, di kawasan itu juga terdapat Rumah Api Tanjung Tuan, salah satu tarikan menarik di Port Dickson. Jadi, sambil anda hiking, bolehlah juga bergambar di rumah api tersebut.
?Bukit Batu Sawa
Bukit ini juga turut terletak di Negeri Sembilan iaitu di daerah Jelebu. Untuk pengetahuan, bukit ini juga sangat terkenal dengan awan karpet yang bakal anda saksikan apabila tiba di puncak.
Sedikit tips kepada mereka yang merancang untuk mendaki bukit ini pada waktu pagi, terdapat satu kawasan di lebuh raya Lekas di mana anda dapat melihat pemandangan matahari terbit yang cukup indah sekali! Kalau anda nak tahu, kawasan itu juga turut viral di laman TikTok tau.
Okay, untuk trail Bukit Batu Sawa ini, ia sedikit mencabar berbanding bukit lain namun masa mendaki tidaklah terlalu lama, dalam anggaran 1 jam 30 minit sahaja bergantung pada berapa banyak pit-stop yang anda ambil semasa mendaki.
Pemandangan di puncak juga sangat cantik! Anda masih boleh melihat awan karpet walaupun tiba di puncak pada pukul 9 pagi. Malah ada banyak ruang untuk anda berehat-rehat sambil minum kopi atau teh sebelum bergerak turun.
?Rawang Bypass
Untuk pengetahuan, Rawang Bypass ini bukan lah kategori bukit tapi ia juga sangat sesuai untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan hiking. Malah, anda boleh memilih trail yang jauh iaitu 4KM atau yang pendek sahaja.
Apa yang unik mengenai Rawang Bypass adalah terdapat terowong yang anda perlu lalui untuk sampai puncak. Selain itu, anda juga akan melalui ‘bawah’ lebuh raya Rawang Bypass di mana pemandangannya sangat lah menarik.