10 Tempat Menarik & Cantik Boleh Singgah Di Hanoi, Vietnam!
Ibu negara Vietnam, Hanoi bukan sekadar sebuah bandar moden. Kaya dengan sejarah, budaya dan tradisi unik, anda pasti akan terpersona serta jatuh cinta ketika melancong ke sini.
Umum mengetahui tahun ini majoriti warganegara mengambil peluang untuk meluangkan masa dengan bercuti di luar negara. Antara negara pilihan ramai ialah Indonesia dan Thailand.
Photo from The New York Times
Tetapi ramai terlepas pandang negara Vietnam yang mampu menawarkan pemadangan bandar unik dan moden juga tau. Menariknya, negara ini masih menyimpan banyak bangunan tradisional untuk kita pelajari.
Tak lupa juga, makanan mereka pun sedap! Oleh itu, jom lihat 10 lokasi menarik anda boleh teroka di Hanoi!
Photo from The Planet Edit
1. Menjelajahi Old Quarter, Hanoi
Photo from Indochina Voyagers
Dianggap sebagai kawasan paling ikonik di Hanoi, kawasan ini terkenal dengan 36 lorong kecil. Setiap satu dinamakan berdasarkan barang yang dijual seperti perak, sutera atau rempah.
Selain daripada banyak kafe retro yang menarik, anda boleh menikmati seni bina kolonial Perancis yang dijaga dengan baik. Sama seperti kita, negara ini juga mengalami era penjajahan.
Tambahan pula, jangan lupa untuk cuba pho (versi halal) yang merupakan makanan ruji orang sini. Old Quarter turut menganjurkan acara kebudayaan dan persembahan untuk anda nikmati.
Photo from Pendulum Magazine
2. Bersantai Di Hoàn Kiê´m Lake
Photo from Wikipedia
Dikenali sebagai tasik pedang kembali bukan sekadar lokasi untuk bersantai. Ia mempunyai sejarah penting berkaitan dengan Maharaja Le Loi.
Kisahnya diperayai pedang sakti Maharaja Le Loi dipulangkan kepada kura-kura emas di tasik ini. Di bahagan tengah tasik terdapat Pulau Jade menempatkan Ngoc Son Temple. Kemudian, ia dihubungkan dengan Jambatan The Huc berwarna merah terang.
Semua ini menjadikan tasik ini tempat paling cantik untuk bergambar. Pada waktu pagi anda dapat melihat ramai pengunjung melakukan aktiviti riadah.
Photo from Wikipedia
3. Persembahan Di Thang Long Water Pupper Theatre
Photo from Klook
Teater wayang air ini dapat memberi pengalaman budaya unik di Hanoi. Persembahan ini berasal lebih 1,000 tahun dahulu mengisahkan kisah rakyat, mitos serta lagenda Vietnam.
Boneka berwarna-warni 'menari' di atas air dengan irigan muzik tradisional secara langsung. Setiap persembahan berlangsung akan mengajar pelancong tentang budaya tempatan Vietnam.
4. Membeli-Belah Di Pasar Terbesar Hanoi, Dong Xuan Market
Photo from Local Vietnam
Dianggap sebagai pasar terbesar di Hanoi, Dong Xuan Market bukan sahaja menjual pakaian, aksesori dan hasil tempatan. Di sini turut menjual makanan tempatan yang dibahagi mengikut tingkat.
Contohnya tingkat pertama fokus kepada makanan segar dan hasil laut kering. Di sini anda dapat lihat dan pelajari gaya hidup seharian penduduk tempatan yang tidak jauh beza dari suasana di negara kita.
5. Secawan Kopi Di Train Street, Hanoi
Photo from Half Half Travel
Anda pasti pernah lihat video sebuah kereta api melintasi lorong sempit dikelilingi rumah dan kedai kan? Haa.. inilah lokasinya!
Kafe-kafe kecil yang dibina bersebelahan landasan kereta api menjadi tumpuan pelancong untuk nikmati perasaan gementar dan dramatik. Sambil minum kopi Vietnam, anda boleh lihat kereta api melintas hanya beberapa inci dari tempat duduk.
Seram tapi berbaloi.
Photo from Get Visa Vietnam
6. Temple of Literature
Photo from VinWonders
Dibina pada tahun 1070, Temple of Literature ialah Universiti pertama di Vietnam yang dideikasikan kepada Confucius. Tempat ini menjadi simbol pendidikan dan ilmu pengetahuan dengan lima halaman besar dihiasi dengan taman, kolam dan traditional pavilion.
Sebuah batu bersurat bernama "Stelae of Doctors" iaitu batu bersurat dengan nama pelajar cemerlang menjadi salah satu tarikan utama di sini. Anda dapat menikmati sejarah dan seni bina Vietnam.
7. Mausoleum Ho Chi Minh
Photo from S Journey
Mausoleum menjadi antara lokasi penting dibina untuk memperingati pemimpin kemerdekaan Vietnam. Badan Ho Chi Minh diawet dalam keranda kaca dan boleh dilihat oleh pengunjung.
Selain itu, kawasan ini dikelilingi oleh taman dan tempat bersejarah seperti Istana Presiden dan Pagoda Satu Tiang. Lawatan pada waktu pagi ialah masa terbaik berbanding waktu lain.
8. Penjara Hoa Lo
Photo from Day Tours In Hanoi
Asalnya dibina oleh Perancis untuk menangkan pejuang kemerdekaan Vietnam, hari ini menjadi muzium untuk memperingati sejarah penindasan serta perjuangan rakyat Vietnam.
Pameran di sini termasuk gambar, dokumen dan barangan tahanan. Memberi perspektif tentang sejarah negara sesuai untuk peminat sejarah yang ingin mempelajari sedikit sebanyak tentang Vietnam.
9. Katedral St. Joseph
Photo from Local Vietnam
Dibina pada tahun 1886, Katedral St. Joseph menggabungkan seni bina Gothic Eropah dengan elemen tradisional Vietnam. Dengan menara tinggi dan tingkap kaca berwarna, ia menyerupai Katedral Notre-Dame di Paris.
Katedral ini popular di kalangan pelancong dan orang untuk bergambar. Kadang kala boleh lihat orang ambil gambar kahwin!
10. Mao Bookstore, Hanoi
Photo from VietNamNet
Merupakan kedai buku tertua di Hanoi dan dianggap menjadi syurga pencinta buku, terlalu banyak koleksi anda boleh jumpa di sini. Ada juga mengatakan terdapat beberapa buku edisi terhad yang sukar didapati di tempat lain.
Terletak berhampiran dengan tasik pedang sakti, kedai ini menawarkan suasana vintaj dengan rak-rak buku padat.
Kecantikan Negara Tanah Naga Biru Hanoi, Vietnam
Photo from Destination The World
Dengan gabungan sejarah, budaya dan keunikan moden. Hanoi sememangnya destinasi kaya dengan pengalaman menarik!
Semoga info ini bermanfaat bagi anda yang ingin mencari destinasi semasa cuti hujung tahun.