download Jom Explore app
Sejarah Tercipta Sepak Takraw Di Malaysia

Sejarah Tercipta Sepak Takraw Di Malaysia

Hot & Viral
By Muhammad Aliff on 23 May 2024
Digital Editor

Teriakan penuh kegembiraan dengan laungan sorakan daripada peminat apabila Malaysia mencipta sejarah. Muncul juara acara double menewaskan Thailand di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa.

Kemenangan manis sangat bermakna bagi peminat sepak takraw di negara sudah lama dahagakan peristiwa ini. Thailand tewas dalam set 16-17, 13-15 di tangan skuad negara telah disaksikan oleh ribuan penonton malam tadi.

Kemenangan Skuad Negara semalam dipenuhi dengan sorakan kegembiraanPhoto from New Straits Times

Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Zawawi mengeluarkan taring di awal permainan. Gandingan ini mendahului 10-3 sebelum pihak lawan mengikat semula mata tetapi dinafikan kemenangan di set pertama.

Kemenangan straight set melonjakkan nama negara dalam senarai juara Piala Dunia. Ia merupakan peringatan kuat tentang asal usul sukan ini mekar dalam negara sehingga berjaya mencapai kejayaan.

Mengharumkan nama negara setelah mengalahkan pesaing gergasi, ThailandPhoto from The Malaysian Reserve

Daripada Pelepah Burung Ke Bola Rotan, Sejarah Sepak Takraw

Ramai percaya, masyarakat China cipta sepak takraw versi kuno dikenali sebagai 'Jiazi'Photo from Scroll.in

Sukan ini dipercayai dicipta oleh masyarakat China satu masa dahulu. Mereka bermain dengan bola yang dipasangkan bulu pelepah burung. Kemudian, cara main pula ialah bola tersebut perlu ditimangkan di atas udara selama mana mungkin. Selalunya dimainkan dua orang atau lebih.

Lalu, ia diperkenalkan ke kawasan Asia Tenggara. Di sini mereka ubah bola daripada bulu burung menjadi bola rotan seperti kita lihat sekarang.

Sebelum bola rotan, mereka gunakan bulu pelapis iniPhoto from Potret of a Plaything

Perkembangan Sepak Takraw: Daripada Aktiviti Beriadah Ke Sukan Negara

Permainan ini dimainkan antara golongan diraja dan bangsawan pada asalnyaPhoto from Sinar Harian

Kalau di negara kita pula. Bukti paling awal mengenai sejarah sepak takraw bermula pada abad ke-15 menurut "Sejarah Melayu" (Malay Annals). Manuskrip ini menyebut tentang bola rotan.

Digunakan dalam permainan yang dipanggil 'Sepak Raga' dimainkan pada zaman Kesultanan Melaka. Namun, ia dinikmati oleh golongan diraja dan bangsawan sahaja. Seterusnya populariti sukan ini mula berkembang dan mereka ke seluruh Asia Tenggara.

Hamid Mydin (tengah) dikatakan bapa sepak takraw moden di negara kitaPhoto from Wikimedia Commons

Menjelang tahun 1940-an, jaring diperkenalkan dan corak permainan mula dicipta oleh Hamid Mydin bersama rakannya. Asalnya dikenali sebagai "Sepak Raga Jaring" dan mula berkembang popularitinya di tanah air.

Disebabkan itu pertandingan pertama dianjurkan secara rasmi pada 16 Mei 1945 di sebuah kelab renang di Pulau Pinang. Pertandingan ini diasaskan oleh Hamid Mydin merebut Piala Nyak Din Nyak Sham. Pasukan pula terdiri daripada kampung sekitar Pulau Pinang.

Antara pasukan dahulu yang bertandingPhoto from Info Takraw

Semakin ramai orang mula berminat dan menghabiskan masa dengan bermain sukan baru ini. Penubuhan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia pada tahun 1960 mengukuhkan lagi kedudukannya dalam landskap sukan negara.

Sebelum Ini Pernah Juara Emas Di Sukan Asia Pada Tahun 1990 & 1994

Pembentukan Persekutuan di negara melahirkan lebih ramai pemain berkaliberPhoto from Berita Harian

Pembentukan dan pengiktirafan antarabangsa muncul setelah kewujudan sebuah persekutuan. Piawai peraturan tetap diwujudkan sekitar 1960-an membawa kepada kelahiran Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada 1965.

Lanjutnya pada tahun 1992, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) ditubuhkan. Ini telah mengukuhkan lagi status sukan ini dalam pasaran dunia. Dahulunya merupakan permainan kampung mula berubah menjadi sukan global.

Malaysia juga pernah raih emas di Sukan Asia tahun 1990 dan 1994Photo from BebasNews

Kemudian ia dimasukkan ke dalam Sukan Asia sekitar tahun 1990-an bermula dengan satu peristiwa penting untuk negara kita. Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas pertama pada 1990 dan sekali lagi pada tahun 1994.

Perjalanannya bukanlah mudah. Populariti sebuah sukan bergantung kepada permintaan untuk membangunkan program latihan yang berterusan untuk melatih pelapis negara. Walau bagaimanapun, semangat dan dedikasi setiap pemain, jurulatih dan peminat memastikan sukan ini tidak pupus di negara kita.

Populariti Sepak Takraw melonjak menjadi antara sukan penting dalam negaraPhoto from Majlis Sukan Negara Malaysia

Kemenangan Hari Ni Memberi Masa Depan Sungguh Cerah

Kemenangan Piala Dunia Sepak Takraw semalam akan berikan inspirasi kepada generasi seterusnyaPhoto from New Straits Times

Kemenangan semalam menentang Thailand, sebuah kuasa besar dalam sukan ini memberi satu tanda. Iaitu komitmen yang tidak pernah putus serta berbelah bahagi bagi melahirkan kemenangan.

Ia bukan kemenangan semata-mata buat pasukan negara tetapi untuk semua yang menyumbang kepada warisan dan sejarah sukan ini di negara. Kemenangan ini pasti memberi inspirasi kepada generasi muda seterusnya.

Kesannya akan terlihat dengan masa depan sungguh cerah apabila pelapis baru turut berusaha untuk mencapai kemenangan. Mereka juga akan mewariskan obor kemenangan bagi mengekalkan budaya sukan ini.

Memandang ke hadapan, kejayaan ini ialah batu loncatan untuk pembangunan seterusnya. Pelaburan dari segi infrastruktur atau promosikan akan membawa ke mata dunia. Bahawa kemenangan yang dicapai oleh Malaysia ialah salah satu detik kebanggaan yang dikongsi oleh seluruh rakyat negara.

Akhir sekali korang pernah cuba main sukan ini?

Mungkin korang suka:

📢 Follow kami di Instagram  Jomexplore Instagram

📢 Follow kami di Facebook Jomexplore Faecbook

📢Follow kami di Tiktok Jomexplore Tiktok