5 Artis Yang Tahu-Tahu Kahwin Pada Tahun Ini, Pandai Mereka Merahsiakannya
Sepanjang tahun 2022, dunia seni menyaksikan ramai selebriti yang melangsungkan perkahwinan secara tergempar tanpa mengetahui tentang berita kisah percintaan mereka.
Malah, berita perkahwinan mereka bukan sahaja mengejutkan industri malah para peminat juga kagum dengan bakat mereka dalam merahsiakan hubungan cinta.
Jadi, mari kita mengimbau kembali majlis perkahwinan selebriti yang diadakan secara tertutup mahupun gilang- gemilang sepanjang tahun 2022.
?Wany Hasrita & Adib Fahmi
Penyanyi, Wany Hasrita selamat bernikah dengan jejaka pilihan, Mohd Al-Adib Fahmi Harun dengan dua kali lafaz di Glam Hall, Damansara Perdana pada 22 Julai 2022.
Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian dan wang hantaran dirahsiakan serta tiada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
Penyanyi lagu Menahan Rindu itu mengakui sudah mengenali jejaka pilihan hati sejak tahun 2010 dan mula rapat sejak tahun 2019.
?Najwa Latif & Akwa
Penyanyi, Najwa Latif telah sah bergelar isteri kepada penyanyi rap, Akwa Arifin dengan sekali lafaz pada 11 November 2022.Berita gembira itu telah dikongsikan oleh penyanyi lagu Cinta Muka Buka itu selepas memuat naik hantaran foto majlis pernikahan di laman Instagram sekaligus mengejutkan industri hiburan dan para peminat.
Sebelum ini, Najwa pernah menggelar dirinya sebagai ‘President of Single’ namun mengakui dia yang memulakan langkah meluahkan perasaan terlebih dahulu kepada Akwa. Malah, mereka turut pernah berkolaborasi dalam dua buah single iaitu Dua dan Tak Kisah Pun.
?Da’i Syed & Hana Ismail
Pendakwah bebas, Da’i Syed dan pengacara, Hana Ismail telah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 Disember 2022.
Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas gelang emas kepada pengantin perempuan.
Terdahulu, Syed dan Hana dipercayai sudah bertunang lebih awal pada 23 Oktober 2022 namun merahsiakan perkara tersebut daripada orang ramai dan pihak media.
Malah, perbezaan jarak umur 9 tahun pada mulanya membuatkan Hana ragu-ragu untuk menerima Syed, namun selepas membuat solat istikarah selama seminggu dia yakin Syed adalah pilihan yang tepat.
?Heliza Helmi & Mahadi
Penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan dan jutawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman pada 1 Januari 2022.
Majlis akad nikah telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran.
Sebelum ini, Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi mengakui dia tidak pernah tertekan saat disoal mengenai jodoh kerana memberi keutamaan pada keluarga dan misi kemanusiaan.
? Shahir & Jaskin
Juara musim kelapan program realiti Akademi Fantasia (AF8), Shahir Zawawi selamat diijabkabulkan dengan isteri, Jaskin Jaludin dengan sekali lafaz pada 3 September 2022.
Shahir menyerahkan mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM20,000 serta 7 dulang hantaran dan dibalas 5 dulang oleh pengantin perempuan.
Sebelum ini, penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu pernah digosip menjalinkan hubungan cinta dengan aktres jelita, Erra Fazira, namun kedua-dua pihak menafikan.
Malah, pernikahan Shahir sekaligus melenyapkan spekulasi mengenai status hubungan dengan Erra.