Makanan Bufet Ala Seram Di Paku & Pontianak, Danau Kota!
Kepada peminat hantu, mesti anda mengenali nama Pontianak kan? Asal usul hantu pontianak ini dipercayai daripada wanita yang kehilangan anaknya dan meninggal dunia. Oleh itu rohnya tidak tenteram dan seterusnya dia berusaha mencari pengganti anaknya.
Terdapat juga kepercayaan mengatakan bahawa sekiranya paku dipakukan di tengkuk pontianak, ia akan berubah menjadi wanita yang sangat cantik. Namun ini semua hanyalah kepercayaan karut sahaja tau.
Jika anda adalah peminat hantu ataupun genre seram, restoran Paku & Pontianak haruslah dikunjungi. Terletak di Danau Kota, kafe ini pasti akan membuatkan bulu roma anda berdiri.
Suasana di Paku & Pontianak
Sesuai dengan namanya, konsep dan suasana di dalam kafe ini sangat menyeramkan. Ditambah lagi dengan lampu yang malap, dipenuhi dengan kain-kain putih serta laluan karpet merah baldu.
Selain itu, terdapat juga pameran seperti baju kebaya, papan paku malah sedikit info mengenai cik pon (pontianak) itu sendiri! Tempat ini tidak disyorkan kepada mereka yang tidak kuat semangat.
Makanan
Hidangan di Paku & Pontianak adalah secara bufet yang terdiri daripada pasta, sup, manis-manisan, makanan barat dan juga makanan asia. Harga buffet ini pula adalah RM49.90 untuk dewasa dan RM39.90 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.
Bagaimanapun, menu akan ditukar setiap hari bagi menonjolkan elemen misteri. Oleh itu, para pengunjung boleh DM di Instagram untuk mengetahui lebih terperinci menu untuk hari tersebut.
Setakat ini, ramai berpuas hati dengan hidangan di kafe ini, terutamanya untuk menu pasta dan juga makanan barat.
Persembahan Muzik
Terdapat juga iringan muzik bagi menghiburkan suasana makan malam anda. Setiap malam, terdapat persembahan live sebagai halwa telinga anda. Sambil makan, sambil berhibur. Barulah syok!
Pemilik Muslim
Anda tak perlu risau kerana kafe ini dimiliki oleh orang Islam. Jadi, ia dipercayai selamat untuk dikunjungi. Jadi, jika anda mencari lokasi makan malam yang lain dari yang lain, apa kata anda ke kafe Paku & Pontianak ini?
?28, Jalan 4/23b, Taman Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur
⏰4pm - 11.30pm
?Sumber Gambar: Facebook
Anda mungkin suka: