Rahsia Nak Masak Nasi Goreng Sedap
Tiap kali kita cuba untuk masak nasi goreng hasilnya mesti tak sesedap macam makan di kedai kan? Mesti ada yang kurang sikit atau tak sedap langsung. Ada rahsia ke yang tukang masak taknak beritahu untuk hasilkan nasi goreng yang sedap.
Haa.. sebenarnya kan, untuk hasilkan nasi goreng yang sedap ni ada rahsia dia tau! Bukan main buat je kerana ada beberapa teknik yang penting untuk memastikan ia tersebut dipenuhi dengan rasa dan aroma yang menyelerakan tau.
Nasi goreng pulak merupakan hidangan kegemaran orang kita kan? Dari kecil kita dapat menikmati sepinggan masakan klasik yang lazat dan boleh dikembangkan mengikut pelbagai resipi yang berbeza.
Tetapi, kalau korang nak tahu asal-usul ia boleh dikesan kembali dari China di mana ia merupakan cara untuk mengelakkan pembaziran nasi. Daripada membuang nasi yang dimasak, tukang masak mencari penyelesaian kreatif dengan menggorengnya dengan pelbagai bahan untuk memberi nafas baru.
Kemudian, masakan itu cepat mendapat populariti kerana rasa yang sedap apabila dicampurkan dengan pelbagai jenis bahan! Sebab itulah, setiap kawasan mempunyai versi nasi goreng tersendiri dengan menggabungkan bahan dengan rasa tempatan.
Oleh itu setiap kali korang makan di mana-mana kedai wajib mempunyai pelbagai jenis nasi goreng yang korang boleh pilih mengikut selera. Jadi, seorang pengguna Facebook Norhamidah Abdul Hamid berkongsi rahsia bagaimana nak hasilkan nasi goreng yang sedap tau.
Photo from Pinterest
Jom tengok rahsianya dan cuba guna dalam masakan korang pulak lepas ni!
Ohh.. Ini Rupanya Rahsia Dia
Photo from Pinterest
Bestnyaa nasi goreng ini terletak pada fleksibiliti dan kebolehan masakan ini untuk diubah suai mengikut kesesuaian bahan yang ada di dapur korang waktu itu. Pemilihan bahan pun boleh berbeza mengikut pilihan peribadi dan diet korang.
Sebenarnya tak kisah pun korang nak masukkan sayuran seperti lobak merah, kacang hijau, lada benggala dan bawang. Untuk pilihan protein seperti ayam, udang, daging lembu atau tauhu pun boleh guna mengikut pilihan korang suka.
Namun, perkara kunci utama yang dikongsikan oleh Norhamidah adalah bermula dengan nasi korang. Sebaiknya untuk menggunakan nasi sejuk ataupun nasi kering yang bermaksud nasi lebihan semalam ataupun sejukkan nasi yang baru sahaja dimasak terlebih dahulu.
Ini kerana ia lebih mudah untuk digoreng kerana teksturnya yang tidak terlalu lembik. Kalau tak, nasi goreng korang akan melekat dan tidak terpisah. Selain itu, korang perlu menumis nasi menggunakan api ynag besar tau.
Selalunya dekat kedai makan, tukang masak akan guna api besar untuk menumis untuk memastikan setiap bahan dapat ditumis dengan baik memberikan rasa garing serta lebih harum. Proses ini dinamakan sebagai 'wok hei' yang memberikan aroma garing menambah rasa pada masakan korang.
Tapi kena jaga-jaga tau, korang kena pandai kawal api yang besar kalau tak boleh hangus nasi korang tu! Tambahan pula, daripada korang gunakan minyak masak. Gantikan dengan marjerin ataupun mentega tau. Ia akan memberikan aroma lebih wangi berbanding minyak masak.
Photo from Pinterest
Korang juga boleh titiskan sedikit minyak bijan dengan tujuan yang sama. Ia juga dapat mengelakkan nasi jadi keras selepas masak tau.
Lebihan Minyak Goreng Ikan Jangan Dibuang!
Photo from Pinterest
Untuk membuatkan nasi goreng korang lebih sedap Norhamidah turut menambah, gunakan lebihan lauk-lauk makan malam semalam seperti ayam ataupun ikan goreng ke dalam nasi goreng korang. Bukan sekadar campurkan sahaja bahan ini, korang perlu menumis dengan bahan lain untuk bangkitkan aromanya tau.
Selain itu, setiap kali korang menggoreng ikan menggunakan minyak masak. Lebihan minyak itu jangan dibuang tau! Korang perlu simpan kerana lebihan minyak tersebut mempunyai rasa daripada ikan tersebut. Masukkan ke dalam nasi goreng korang untuk menambah sedikit rasa umami!
Bukan itu je, nasi goreng tak lengkap kalau tiada telur goreng kan? Waktu memasak nasi goreng ada 2 masa untuk pecahkan telur tau. Sama ada pada awal atau pada saat akhir memasak nasi goreng. Pada masa awal, telur akan digoreng secara berasingan kemudian dihancurkan dan dimasukkan ke dalam nasi goreng yang sudah siap dimasak.
Pada masa akhir pula, sebelum nasi disiap masak buatkan sedikit ruang di tengah kuali dan pecahkan telur di tengah-tengah. Kacau telur sehingga masak dan gaulkan bersama nasi sehingga sebati tau.
Photo from Pinterest
Selaras dengan itu, apa kata korang masukkan ghee ke dalam masakan korang kerana ia mempunyai rasa tersendiri dan dapat meningkatkan keseluruhan rasa masakan korang!
Jangan Lupa Untuk Menambah Bahan-Bahan Perasa
Photo from Pinterest
Masakan korang tak lengkap kalau tiada bahan-bahan perasa kerana ini akan meningkatkan masakan korang memberikan rasa tersendiri tau. Bahan perasa paling asas kornag boleh gunakan adalah belacan.
Untuk belacan pula, bakar ataupun layur di atas api terlebih dahulu kemudian masak bersama nasi goreng ketika proses menumis tau. Ini akan memberikan rasa lebih mendalam dan mengelakkan masakan korang mendapat komen "kurang rasa".
Seterusnya, biasanya kita akan tambah garam pada waktu akhir untuk menambah rasa yang sedikit masin. Tetapi, kalau korang nak tahu kadang kala garam yang ditabur jadi tak sekata tau.
Sebaiknya, apa kata korang gaulkan garam bersama nasi sejuk terlebih dahulu sebelum mula menumis dalam kuali. Untuk memastikan lebih sekata, apa kata korang gunakan garam halus dan tak perlu guna dalam kuantiti yang banyak pun kerana belacan, minyak ikan sudah cukup untuk memberi rasa masin.
Akhir sekali, korang juga boleh gunakan lesung batu untuk menumbuk bahan perencah kerana ia akan memberikan rasa yang berbeza berbanding menggunakan mesin pengisar tau.
Photo from Pinterest
Haa.. itulah rahsia bagaimana untuk masak nasi goreng yang sedap sama macam korang makan dekat kedai. Apa kata korang cuba gunakan semua tips yang telah dikongsikan dan lihat sendiri perbezaan kualiti masakan korang! Mana tau boleh bukak kedai jual nasi goreng je lepas ni.